web 2.0

Saturday, August 25, 2012

Mengajak Kepada Yang "Ok"

Apabila kita mempunyai banyak pilihan, pastinya kita memilih yang paling baik mengikut tanggapan kita. Jika kita ke kedai kain, dengan peruntukan wang yang ada, pastinya kita akan memilih kain-kain yang patut dibeli sahaja. Dilarang bersikap tamak, kerana ia akan membawa kepada pembaziran.

Allah meletakkan taraf orang yang membazir ini sebagai "saudara kepada Syaitan". Hal ini bermaksud, seolah-olah syaitan ini ialah emak, kakak, adik, ayah kandung kepada kita.

Namun, dalam menyeru orang lain kepada kebaikan kita seharusnya bersifat "tamak" dalam menggunakan medium yang ada. Tidak boleh teragak-agak seperti dalam membeli kain, seharusnya kita menggunakan segenap cara. Lisan, tulisan, lakaran, pertunjukan dan hikmah semuanya perlu dicuba dan dipelbagaikan caranya.

Ramai dalam kalangan kita yang menyangka bahawa diri sendiri tidak layak menyeru orang lain kearah kebaikan hanya kerana diri sendiri yang terbelenggu dengan kejahatan. Awas, anda tersilap. Seruan anda kepada kebaikan itu tetap akan diberikan ganjaran oleh Allah. Mudah-mudahan Allah akan mendorong kita untuk sentiasa bermuhasabah akan apa yang kita serukan.

Ibarat seorang muslim yang solat dalam keadaan memakai seluar yang dicuri, atau seorang pencuri bangun untuk menunaikan solat, ibadahnya tetap sah. Yang tidak sah dan kekal sebagai dosa ialah perbuatannya yang terkutuk itu sahaja.

Atas kefahaman "kewajipan menyeru orang lain kepada kebaikan", saya ingin kembali menulis semula. Ianya adalah kepelbagaian pilihan. Semoga ianya dapat memberikan sekurang-kurangnya sehuruf manfaat kepada rakan dan taulan.

Saya gariskan beberapa disiplin dalam penulisan :-

1. Niat
2. Berkongsi penulisan yang hanya mengajak orang lain kepada kebaikan
3. Memperhalusi adab mengkritik setiap pandangan penulis atau ulasan sesuatu isu
4. Berkeras mempertahankan kebenaran andai ianya memang kebenaran yang nyata

Saya akan bekerja keras demi ini. Semoga anda yang membaca mendapat sekurang-kurangnya satu huruf kebaikan.

Wallahua'lam

0 comments: